KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan 16 individu dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam beberapa sektor pekerjaan menerusi Op Pintas Mega dijalankan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sekitar Lembah Klang, semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Soffian Santong, berkata serbuan pertama dilakukan pada 12.05 tengah malam di sebuah restoran di Bandar Tasik Puteri, Rawang, yang menyelamatkan lima remaja lelaki berusia antara 16 hingga 17 tahun, terdiri daripada empat warga Myanmar dan seorang Indonesia.
“Dalam serbuan itu, dua lelaki masing-masing seorang warga tempatan berusia 29 tahun yang merupakan majikan dan seorang lelaki warga India berusia 26 tahun yang merupakan penyelia ditahan bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.