PETALING JAYA: Dua lelaki warga Malaysia yang terlibat dalam sindiket berkaitan penipuan dan penyamaran di Singapura dihukum penjara kerana mengeluarkan wang SGD1.4 juta (RM4.3 juta) yang dipercayai hasil jenayah melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Chang Yang, 23, dijatuhi hukuman penjara empat tahun empat bulan kerana mengeluarkan lebih SGD770,000 daripada ATM, manakala Thong Yoong Khean, 27, yang mengeluarkan hampir SGD660,000, menerima hukuman penjara empat tahun, lapor Straits Times.
Kedua-duanya mengaku bersalah bulan lepas atas pertuduhan terlibat dalam konspirasi mengendalikan hasil daripada aktiviti jenayah, yang melibatkan jumlah keseluruhan lebih daripada SGD403,000.
