LAHAD DATU: Tiga maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dan treler bertembung di KM33 Jalan Lahad Datu-Tawau, kira-kira 1.05 tengah hari semalam.
Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail, berkata siasatan awal mendapati Toyota Innova yang dipandu seorang lelaki dari arah bandar Lahad Datu menghala Tawau cuba memotong beberapa kenderaan di depannya, tetapi gagal kembali ke laluan asal sebelum bertembung sebuah treler dari arah bertentangan.
Akibat pertembungan itu, pemandu MPV berusia 40 tahun dan dua penumpang berusia 39 serta 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang parah dihantar ke Hospital Lahad Datu.
