ISTANBUL: Sebelas rakyat Palestin, termasuk tiga wartawan, terkorban dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Rabu, dalam pelanggaran terbaharu perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Kementerian Kesihatan.
Kenyataan kementerian itu memaklumkan enam lagi individu cedera dalam serangan yang menyasarkan pelbagai kawasan di Semenanjung Gaza, namun tidak memperincikan lokasi serangan atau identiti mangsa.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Munir al-Bursh memberitahu Anadolu bahawa tiga wartawan adalah antara yang terkorban dalam serangan Israel di selatan Gaza.
