PETALING JAYA: Sebanyak 31 perusahaan disyaki terlibat dalam kartel penetapan harga berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memaklumkan, pihaknya mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap kesemua perusahaan itu, susulan hasil dapatan awal bahawa mereka melanggar Seksyen 4(1), dibaca bersama-sama Seksyen 4(2)(a) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
Pengerusi MyCC Idrus Harun berkata, perusahaan-perusahaan tersebut telah berbincang dan bersetuju dengan cadangan menetapkan harga lantai bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa mesyuarat persatuan pada September 2023.
