KOTA KINABALU: Sembilan individu maut dalam dua kejadian tanah runtuh di Kota Kinabalu dan Papar pagi ini, susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda mengesahkan tujuh mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam kira-kira 9.15 pagi.
Beliau berkata mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun, manakala tiga lagi mangsa melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun.