PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua tuduhan menerima rasuah melibatkan kerja ubah suai rumah dan deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM13,500 pada 2018.
Firdaus Mohamad, 40, yang kini bertugas di Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam Dalam Negeri, IPK Kelantan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, Firdaus didakwa menerima bayaran pengubahsuaian rumah bernilai RM9,000 secara percuma tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor ketika bertugas sebagai ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Machang antara Januari hingga Jun 2018.