PETALING JAYA: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd memperkukuh agenda kelestarian negara dengan memperkenalkan baja biopepejal hasil kitar semula sisa kumbahan, inisiatif ‘waste-to-wealth’ yang menukar bahan buangan kepada sumber bernilai dan sesuai digunakan bagi tanaman bukan makanan.
Langkah itu menerima pengiktirafan syariah apabila Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 pada 25 hingga 27 Feb lalu berpandangan hukum menghasilkan dan menggunakan baja organik daripada pemprosesan biopepejal IWK yang selamat dan bermanfaat adalah diharuskan.
Keputusan tersebut dibuat selepas muzakarah berpuas hati dengan hujah dan fakta yang dikemukakan penyelidik berhubung penggunaan biopepejal dari loji rawatan kumbahan tinja manusia sebagai sumber penghasilan baja organik.
