PETALING JAYA: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai titik perubahan penting dalam landskap pengurusan fiskal negara apabila Putrajaya komited terhadap disiplin kewangan, kecekapan tadbir urus dan keutamaan berimpak tinggi untuk rakyat, kata dua ahli ekonomi.
Idham Razak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata sasaran defisit fiskal 3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan disifatkan realistik berikutan kerajaan menunjukkan kemajuan berterusan dalam konsolidasi fiskal dan peningkatan hasil negara.
Menurutnya, dengan pertumbuhan ekonomi stabil serta pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Malaysia kini berada pada kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran itu walaupun berdepan ketidaktentuan global.