PETALING JAYA: Cadangan Kumpulan Genting mengenakan caj ke atas kenderaan yang menggunakan jalan persendiriannya ke Genting Highlands adalah perlu bagi memastikan keselamatan dan penyelenggaraan laluan berbukit itu, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.
Tiong berkata, kawasan itu sedang mengalami pembangunan pesat, yang kebanyakannya berada di luar kawalan pihak Genting.
“Setahu kami, ia jalan persendirian. Semua kerja selenggara dilakukan oleh Genting Group. Demi kelestarian (operasi), mereka tiada pilihan (selain mengenakan caj),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Resorts World Genting dan Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
