KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan sebarang tindakan menggugat kebebasan pengamal perubatan dalam melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit boleh ditafsirkan tidak konsisten dengan peruntukan undang-undang.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dipandang serius susulan kebimbangan campur tangan pengendali insurans, takaful dan pentadbir pihak ketiga (TPA) dalam pengurusan rawatan yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal doktor di hospital swasta.
Beliau berkata, sebarang bentuk campur tangan sedemikian bercanggah peruntukan bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menjamin tanggungjawab profesional pengamal perubatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.
