PETALING JAYA: Cadangan ‘gencatan senjata’ politik antara Bersatu dan PAS akan kekal rapuh selagi kedua-dua parti tidak menyelesaikan perbezaan asas mereka dan menangani kemelut politik terbaharu di Perlis, kata penganalisis politik.
Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata dua komponen utama Perikatan Nasional (PN) itu perlu meleraikan perbezaan dalam orientasi politik serta matlamat jangka panjang masing-masing.

Beliau berkata PAS dilihat mengutamakan visi ideologi jangka panjang, dengan melihat politik sebagai wahana untuk membentuk masyarakat mengikut prinsip Islam, manakala Bersatu pula lebih tertumpu kepada kelangsungan politik dan pilihan raya dalam jangka pendek.
