KUALA LUMPUR: Pulau Pinang dan Perak menjadi dua negeri terbaharu dilanda banjir, manakala jumlah mangsa bencana itu di Kelantan, Kedah dan Perlis yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat, setakat 8 malam tadi.
Situasi banjir di Terengganu pula mencatatkan penurunan mangsa pada sebelah malam ini selepas sebahagian daripada mereka mengambil peluang untuk pulang ke kediaman masing-masing, apabila keadaan banjir yang semakin pulih.
Di Pulau Pinang, seramai 128 mangsa membabitkan 30 keluarga dari Permatang Berangan, di Tasek Gelugor ditempatkan di dua PPS yang dibuka petang tadi di Kampung Desa Puri (115 mangsa daripada 28 keluarga) dan di SK Pengkalan Jaya (13 mangsa, dua keluarga).
