ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar segala spekulasi mahupun tohmahan dan perkara tidak diingini dihentikan selepas Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu dilantik sebagai menteri besar yang baharu hari ini.
Baginda bertitah pada kebiasaannya, Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar diadakan setiap lima tahun namun kali ini ia sedikit berbeza kerana menteri besar sedia ada meletakkan jawatan atas faktor kesihatan sekali gus memerlukan pelantikan baharu.
“Bermacam-macam spekulasi serta tohmahan, tuduhan dan perkara tidak diingini berlaku serta disebut… Beta harap selepas ini semua perkara itu dihentikan demi kebaikan negeri,” titah Tuanku Syed Sirajuddin pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu di Bilik Hijau, Istana Arau.
