PETALING JAYA: Cadangan pemimpin PAS, Shahidan Kassim supaya Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PKR membentuk kerajaan campuran disifatkan tidak realistik, malah berisiko mengheret negara ke kancah ketidakstabilan politik.
Penganalisis, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting, berkata idea itu menyerupai eksperimen politik berbanding strategi matang, dikhuatiri boleh mengulangi episod pasca PRU14 apabila negara menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam tempoh lima tahun.
“PN cuba menjual gabungan mimpi, tetapi realitinya mereka sedang menagih oksigen politik. BN pula masih mencari arah selepas gelombang biru semakin malap, manakala PKR pula hampir mustahil meninggalkan DAP,” katanya kepada FMT.
