KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan individu yang akan didakwa bersama dua Adun Sabah berhubung skandal rasuah lesen cari gali di negeri itu, tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menjelaskan, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya tidak layak memohon perlindungan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’.
“Kita rujuk kepada undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, iaitu jika seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan, dia tidak dilindungi di bawah akta ini, maknanya dia bukan ‘whistleblower’,” katanya.