JAKARTA: Indonesia terus berdepan gelombang haba yang teruk dengan suhu mencecah sehingga 37.6 darjah Celsius di beberapa wilayah, ketika agensi cuaca negara memberi amaran bahawa keadaan ekstrem itu boleh berlarutan sehingga awal November.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, cuaca panas luar biasa itu berpunca daripada pergerakan matahari ke arah selatan serta pengukuhan angin timuran dari Monsun Australia.
“Corak ini menyebabkan wilayah tengah dan selatan termasuk Jawa, Nusa Tenggara, Kalimantan dan Papua menerima lebih banyak cahaya matahari secara langsung, sekali gus menyebabkan suhu dirasai lebih panas,” kata Timbalan Bahagian Meteorologi BMKG Guswanto dalam kenyataan.