JAKARTA: Indonesia tidak akan mengeluarkan visa kepada atlet Israel yang ingin menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di Jakarta dari 19 hingga 25 Okt ini.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Yusril Ihza Mahendra berkata keputusan itu selaras dengan pendirian teguh Presiden Prabowo Subianto terhadap isu Israel dan Palestin.
“Dalam ucapannya baru-baru ini di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Presiden menyatakan kecaman tegas terhadap tindakan kekejaman dan kezaliman Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.