SHAH ALAM: Industri kurier perlu memperkukuh kerjasama dengan polis dan kastam bagi menangani salah guna perkhidmatan penghantaran untuk kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Katanya, keselamatan industri itu terus menjadi keutamaan susulan beberapa kes penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk menyeludup dadah jutaan ringgit sejak setahun lalu.
Beliau memetik kejayaan Jabatan Kastam Sarawak merampas lebih 42kg pil ecstasy lebih RM7 juta Julai lalu, selepas polis menumpaskan sindiket terbesar di Sarawak dengan rampasan RM8.53 juta Jun lalu, yang dikatakan menggunakan bungkusan kurier dari Semenanjung.
