SINGAPURA: Singapura kini berdepan serangan siber berterusan ke atas infrastruktur kritikal negara oleh pelaku ancaman canggih dikenali UNC3886, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam.
Beliau berkata, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) bersama agensi berkaitan giat menangani serangan itu dan bekerjasama dengan pemilik infrastruktur maklumat kritikal (CII) terlibat.
“UNC3886 merupakan ancaman serius kepada kita dan berpotensi menjejaskan keselamatan negara. Atas faktor keselamatan, kita tidak akan mendedahkan butiran lanjut serangan ini buat masa ini,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 CSA pada Jumaat.