PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis berhubung dakwaan mengaitkannya dengan serangan terhadap anak Rafizi Ramli minggu lepas.
Ismail berkata, laporan dibuat pada Isnin di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan tersebut, serta skandal membabitkan syarikat swasta.
“Satu laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata bekas naib presiden Umno itu dalam kenyataan.