PUTRAJAYA: Resolusi berhubung isu 10 ladang FGV Holdings Bhd (FGV) yang dikenakan notis larangan menceroboh oleh kerajaan Terengganu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.
Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, lembaga pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda ) dan FGV sedang bermesyuarat hari ini bagi membincangkan saranan, cadangan serta penyelesaian berhubung isu berkenaan.
“Saya yakin beberapa saranan dan cadangan daripada mesyuarat lembaga pengarah akan disampaikan kepada saya dan saya akan bentangkan esok bagi membolehkan beberapa langkah tindakan segera dilakukan kerajaan,” katanya selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
