BANGKOK: Atlet olahraga negara Andre Anura Anuar menebus kegagalan merangkul emas hatrik lompat kijang lelaki Khamis lalu dengan mengungguli acara lompat jauh lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai.
Kejayaan tersebut menyaksikan atlet berusia 26 tahun itu melakukan lompatan 7.71m untuk merangkul emas, sekali gus menamatkan kemarau 22 tahun negara dalam acara tersebut yang kali terakhir dimenangi Shahrul Amri Suhaimi, pada edisi 2003 di Hanoi, Vietnam.
Beliau mengenepikan cabaran atlet Filipina dan juara bertahan Janry Ubas yang melakukan lompatan 7.64m, manakala Andrew George Medina dari Singapura memperoleh gangsa (7.53m).
