PETALING JAYA: Peguam di Malaysia sejak sekian lama dihadkan cara mengiklankan perkhidmatan mereka di bawah peraturan publisiti bagi menjaga maruah profesion guaman.
Tetapi, dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah Profesion Undang-undang (Publisiti) 2025 mulai 1 Jan lalu, peguam diberikan kebebasan lebih luas untuk mempromosikan perkhidmatan mereka – termasuk melalui internet, media sosial dan platform digital lain.
Walaupun perubahan itu menandakan peralihan penting dalam peraturan pengiklanan bagi peguam di Malaysia, profesion guaman masih dikawal lebih ketat berbanding di negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
