KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kepimpinan perlu berlandaskan integriti, komitmen menentang rasuah dan dasar ekonomi yang menangani masalah rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan pendapatan.
Beliau berkata kepimpinan sedemikian juga perlu dekat dengan rakyat serta memahami cabaran harian mereka walaupun kerajaan sedang melaksanakan reformasi institusi.
Perdana Menteri berkata sebagai ketua sebuah kerajaan perpaduan, beliau perlu menangani isu secara kolektif berbanding bertindak secara sendirian.
