KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan (PK) 2025 sama sekali tidak menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa menteri kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata kuasa menteri kewangan dalam hal ehwal perolehan telah diperuntukkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan yang memberikan kuasa menyeluruh terhadap dasar, kelulusan dan pengecualian berkaitan perolehan kerajaan.
“Di bawah RUU PK ini, kewajipan dan kuasa menteri kewangan dalam urusan perolehan diperuntukkan dengan jelas secara perundangan. Berbeza daripada keadaan semasa, keputusan menteri kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula, dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali,” katanya.