PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dibebaskan selepas pihak pendakwaan menggunakan kuasa budi bicaranya untuk menarik balik tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan pembayaran kompaun.
Azalina berkata, Adam Radlan sebelum ini didakwa atas 12 tuduhan, merangkumi lima tuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh tuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Jelasnya, ketika sebutan kes pada 20 Ogos lepas, timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa Adam Radlan ditawarkan kompaun mengikut Seksyen 92(1) Amla, dan beliau sudah pun menjelaskan bayaran berjumlah RM4.1 juta pada 18 Ogos.
