PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlakunya ketidakpatuhan dan salah guna kedudukan beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.
EAIC berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 selepas menerima aduan terhadap beberapa pegawai di JAS Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan berkait kes itu.
Katanya, hasil siasatan mendapati seorang pegawai pengurusan tertinggi JAS Putrajaya didapati ingkar perintah kerana mempunyai hubungan baik dengan pihak berkepentingan sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan.
