PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa proses pemilihan pelajar ke universiti awam adalah berasaskan prinsip meritokrasi sepenuhnya, sekali gus menolak dakwaan wujud kelompongan dalam sistem UPUOnline.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Azlinda Azman berkata, daripada 109,866 permohonan yang layak, 78,883 orang atau 71.8% ditawarkan tempat pada peringkat ijazah sarjana muda bagi sesi 2025/2026.
“Kemasukan pelajar ke institusi dibuat dengan menyusun semua calon yang layak mengikut merit tertinggi hingga terendah,” katanya pada sidang media berhubung isu pemilihan pelajar UPU hari ini.