MELAKA: Kerajaan bersedia mengaktifkan pelan evakuasi bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah sekiranya situasi semasa di rantau berkenaan memerlukan tindakan segera.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata, pelan tersebut telahpun disediakan lebih awal dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa bergantung kepada perkembangan semasa.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama Kementerian Luar melalui Wisma Putra sentiasa memantau rapat keadaan di negara terlibat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk pelajar, sentiasa terjamin.
