KUANTAN: Individu yang sudah tidak terlibat dengan parti wajar melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah dalam mana-mana organisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu berkata pemindahan milik amanah sepatutnya dilakukan apabila individu terbabit tidak lagi berada di dalam parti atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Bila seseorang itu tidak lagi memegang jawatan dalam mana-mana organisasi, terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya untuk menjadi pemegang amanah, dia sepatutnya melepaskan (tanggungjawab pemegang amanah),” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Akademi Rel Pahang di Yayasan Pahang.