PUTRAJAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk bagi penunggang motosikal.
Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa penunggang motosikal akan mula membayar tol mulai Oktober ini seperti yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.
Dalam kenyataan hari ini, LLM menyifatkan hantaran tersebut sebagai maklumat tidak benar yang mengelirukan orang ramai serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal, selain menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.