PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini berjaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati ia bertanggungjawab kerana cuai susulan kematian pengawal keselamatan yang menggantung dirinya ketika ditahan di lokap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Klang pada 2019.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan kerajaan itu, yang difailkan bersama-sama pengarah APPM Selangor dan pegawai penyiasat agensi berkenaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang turut memerintahkan ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi RM194,170 kepada keluarga M Thinagaran.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Mohamed Zaini berkata meskipun perayu mempunyai kewajipan am untuk menjaga mangsa ketika berada dalam tahanan, Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila memutuskan bahawa risiko membunuh diri adalah sesuatu yang munasabah untuk dijangkakan dalam kes tersebut.
