PETALING JAYA: Seorang warga emas maut, manakala isterinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori yang menukar haluan secara tiba-tiba di Ipoh, Sabtu lepas.
Menurut Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, nahas di Jalan Ipoh–Lumut itu berlaku pada kira-kira 3 petang apabila sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun mengubah haluan ke lorong kiri jalan secara tiba-tiba.
Akibat tindakan itu, motosikal yang ditunggang Ahmad Taufik Abu Bakar, 60, yang berada di belakang kenderaan berat itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri lori.
