KUALA LUMPUR: Seorang penuntut universiti swasta didenda RM5,000 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul seorang ahli patologi wanita warga Amerika Syarikat di dalam koc tren aliran transit ringan (LRT) awal tahun ini.
Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas Rahman Md Moshiur, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Warga Bangladesh itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam gerabak tren dari Stesen Universiti yang menghala ke Stesen Bangsar pada 9 pagi 9 Jan lepas mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.