KAHERAH: Polis Mesir menembak mati lapan penyeludup dadah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di pulau-pulau Sungai Nil, utara Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada Selasa.
Menurut kementerian, kesemua lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah termasuk kes bunuh, penyeludupan dadah, pemilikan senjata api haram, rompakan bersenjata serta kecurian kenderaan, lapor Xinhua.
Mereka dipercayai menjalankan kegiatan dari pulau-pulau Sungai Nil berhampiran wilayah Menoufia dan Qalyubia dengan menggunakan bot laju serta memanfaatkan bentuk muka bumi bagi mengelak daripada dikesan pihak keselamatan.