PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik reformasi ‘diimport dari Barat’ oleh kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), sambil memberi amaran gerakan itu mengheret Malaysia ke arah kemerosotan moral dan sosial.
Hadi berkata, reformasi itu yang bertujuan meningkatkan sistem sosial, politik, ekonomi, dan agama – ‘masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja yang tidak berpandukan hidayah Allah’.
Beliau berkata, agenda pembangunan insan ciptaan Barat bersandarkan ‘jenama menarik’ melahirkan sekularisme dan kandungannya seperti reformasi, progresif, dan liberal.
