PETALING JAYA: Wanita PKR berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan semalam, akan membantu memacu pemerkasaan ekonomi dengan menyediakan sokongan kepada usahawan wanita, dan akses kepada pendidikan dan latihan.
Sambil menyifatkan rancangan lima tahun itu sebagai ‘strategi komprehensif’, Ketua Komunikasi sayap itu, Norhayati Umor, berkata salah satu sasaran utamanya adalah meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60%, melalui akses kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan program latihan yang disesuaikan.
“RMK-13 bukan sahaja mengenai pertumbuhan ekonomi, tetapi juga mengenai pengagihan peluang yang saksama dan pembangunan inklusif bagi memastikan tiada kumpulan yang ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.