KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan merombak sepenuhnya fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) supaya menjadi pusat sokongan menyeluruh, bukan lagi sekadar lokasi kegiatan santai atau rekreasi.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, dalam keadaan negara sedang menuju status masyarakat menua, kerajaan memerlukan model baharu untuk menjaga kebajikan warga emas.
“Kita memerlukan Pawe yang benar-benar berfungsi sebagai pusat sokongan menyeluruh kepada warga emas. Saya cadangkan agar Pawe di seluruh negara diubah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat.
