PETALING JAYA: Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Mustapha Sakmud menyeru pemimpin kumpulan etnik supaya membantu mengekalkan keharmonian ketika rundingan pelaksanaan hak Sabah ke atas 40% hasil negeri itu seperti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata walaupun kemajuan dicapai dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan, cabaran sepanjang rundingan itu boleh menimbulkan kebimbangan awam, lapor Borneo Post.
“Saya berharap Majlis Gabungan Persatuan Bumiputera Asli Sabah (Magebs) dan presiden pelbagai kumpulan etnik dapat bekerjasama untuk bantu ahli memahami bahawa ketika kita perjuangkan hak, kita juga ada tanggungjawab untuk pastikan hubungan persekutuan dan negeri kekal kukuh serta harmoni,” katanya di mesyuarat Magebs di Kota Kinabalu hari ini.
