PETALING JAYA: Sarawak mula membekalkan elektrik kepada Sabah, sekali gus menandakan permulaan kesalinghubungan kuasa Sabah-Sarawak yang sudah lama dinantikan, kata Premier Abang Johari Openg.
Beliau berkata, eksport tenaga itu bermula dua hari lalu dengan permulaan 30 megawatt dari grid Utara Sarawak. “Sekarang kita boleh menjadi Grid Borneo”, katanya di Bintulu memetik Dayak Daily.
Bekalan dari Sarawak dijangka dapat mengurangkan masalah elektrik Sabah yang berlarutan sejak 1980-an, di mana gangguan tenaga menjadi perkara biasa di banyak bahagian negeri itu. Sabah mempunyai margin rizab 5% melebihi permintaan puncak kira-kira 1,100MW pada 2024, berbanding margin di Semenanjung, 40%.
