KUALA LUMPUR: Sebanyak 26 cubaan serangan pengganas dan militan di Malaysia berjaya digagalkan Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas dalam tempoh 12 tahun, dari 2012 hingga 2024, kata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata, cubaan serangan itu, melibatkan ancaman secara berkumpulan dan individu, manakala dua serangan dilancarkan, iaitu serangan bom ke atas sebuah pub di Puchong pada 28 Jun 2016 dan terhadap Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 17 Mei 2024, yang mengorbankan dua polis.
“Dalam tempoh terbabit, Bahagian E8 turut berjaya menahan 75 anggota kumpulan militan dan pengganas yang merancang untuk melancarkan serangan di Malaysia. Mereka yang ditahan ini berpegang kepada ideologi Salafi Jihadi yang diperjuangkan oleh kumpulan itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
