PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak tidak berkuasa menentukan persempadanan atau lokasi kerusi baharu, kata seorang menteri negeri, sambil menafikan dakwaan pembangkang mengenai gerrymandering dalam usul penambahan kerusi daripada 82 kepada 99.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuasa mutlak menentukan persempadanan dan penyesuaian kawasan pilihan raya, bukannya kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“GPS, dewan ini (Dewan Undangan Negeri) ataupun kerajaan yang memerintah tiada sebarang kuasa atau kata putus berhubung lokasi persempadanan 17 kerusi baharu itu kerana ia adalah hak mutlak SPR,” katanya di DUN.