PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyeru suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan laporan Bloomberg.
Suhakam berkata ia bimbang sekiranya jawatankuasa penyiasatan khas tidak mempunyai kuasa statutori yang jelas serta kuasa penyiasatan yang mencukupi, bagi menyiasat dakwaan melibatkan Azam Baki.
“Badan yang tidak mempunyai kuasa untuk memanggil saksi hadir, menghendaki pengeluaran dokumen, atau mendapatkan bukti berkaitan, berisiko dinilai sebagai terhad dari segi skop dan keberkesanan,” menurut kenyataan.
