PETALING JAYA: Panglima Tentera Udara (PTU), Muhamad Norazlan Aris, berkata semua pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM masih boleh beroperasi dengan baik sehingga 2035.
Walaupun sudah berusia 18 tahun, katanya, pesawat itu masih relevan dan dalam keadaan baik serta boleh diguna pakai sekurang-kurangnya 10 tahun lagi jika komponennya diselenggara mengikut jadual.
Beliau yang menerbangkan Sukhoi Su-30MKM pada persembahan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Dataran Putrajaya Ahad lalu berkata, keadaan pesawat dikendalikannya masih sama seperti kali pertama beliau memandunya selepas menjalani latihan di Zukovsky, Moscow pada 2007.