PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa sebuah syarikat insurans berhak menolak tuntutan penyelesaian bernilai RM1.5 juta selepas mendapati pemilik diinsuranskan dan pemandu sebuah kereta Ferrari menyembunyikan fakta material, sekali gus melanggar kewajipan niat baik sepenuhnya di bawah polisi insurans.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Choo Kah Sing mendapati Bespoke Motoring Sdn Bhd, pemilik sebuah kereta Ferrari, gagal mendedahkan bahawa Lee Koon Tong memandu melawan arus lalu lintas untuk jarak yang agak jauh sebelum kemalangan pada 5 Okt 2018.
Bespoke, dalam laporan polis, borang tuntutan dan temu bual dengan pelaras insurans, mendakwa Ferrari yang dipandu Lee mengelak sebuah kenderaan tidak dikenali di Lebuhraya MEX sebelum berpusing menghadap arah bertentangan dan dilanggar sebuah kereta Honda.
