PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengesahkan beliau tidak akan kembali kepada Umno susulan keterbukaan parti lamanya itu menerima semula bekas ahli tanpa syarat menerusi gagasan Rumah Bangsa.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Larut itu mahu menumpukan pada usahanya mengajak semua parti termasuk Umno untuk bekerjasama menyelamatkan negara menerusi agenda baharu.
“Tak payahlah masuk (Umno semula),” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang hari ini, yang turut dihadiri beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau; Presiden MIPP P Punithan; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Awang Hashim; Presiden MIC SA Vigneswaran; dan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir.
