PETALING JAYA: Tentera darat merampas dadah bernilai lebih RM10 juta yang cuba diseludup susulan tangkapan seorang lelaki warga Thailand, sekitar 1.2km dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, kejayaan itu dicapai melalui tindakan pantas kumpulan serbuan dan tangkapan (Serkap) 4 Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) pada 9 Dis ketika melaksanakan operasi di Zon Utara bawah tanggungjawab Briged ke-6 Infantri.
Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan suspek itu, pasukan berkenaan menemukan sembilan guni berisi bungkusan kecil menyerupai peket beras, dipercayai dadah diseludup dari negara jiran.
