PETALING JAYA: Penyeliaan tidak cukup di tapak pendaratan menjadi faktor penyumbang utama nahas helikopter di Bentong yang mengorbankan seorang jurutera aeronautik tahun lalu, menurut laporan akhir nahas dikeluarkan minggu ini.
Laporan itu menyebut ketiadaan pegawai keselamatan hadir memantau aktiviti penerbangan dan darat semasa operasi tersebut, yang melibatkan pengisian bahan api helikopter semasa enjin masih hidup.
“Ketiadaan penyeliaan secara langsung bermakna tiada figura berkuasa menguatkuasakan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), memantau tingkah laku kru, atau campur tangan apabila didapati berlaku amalan tidak selamat,” kata laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
