PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen PKR Tian Chua mempertikaikan penjelasan sebuah pusat beli-belah berhubung kekecohan berlaku di premis terbabit, dengan berkata pengawal keselamatan di Suria KLCC menegaskan simbol dikaitkan dengan Palestin adalah dilarang.
Dalam satu kenyataan yang menuntut permohonan maaf daripada pihak pengurusan, Tian Chua juga berkata tidak ada sebarang cubaan untuk mengadakan demonstrasi di dalam pusat beli-belah tersebut dan peserta perhimpunan anti-Donald Trump telah memasuki kompleks itu selepas bersurai.
Menurutnya, dia sendiri tidak berhasrat masuk ke dalam pusat beli-belah sehinggalah dimaklumkan beberapa peserta telah dihalang kerana mereka memakai lencana dan keffiyeh serta membawa bendera dan plakad.